Friday, July 13, 2012
Risaunya Hati!
Cemburu..
Itulah sifat yang terlalu akrab dengan seorang wanita. Sebab itu, hati para wanita ini perlu dibelai, dikasihi, dijaga sebaik-baiknya agar tidak terluka. Wanita, apabila hati sudah terluka sudah pasti lambat sembuhnya. Jika tidak kena pada caranya, hati wanita ini boleh bernanah dengan begitu teruk. Disinilah suami perlu bijak memainkan peranan. Memujuk tanpa jemu, ikutilah sunnah-sunnah nabi. Bagaimana Rasulullah S.A.W berjaya menggembirakan hati isteri-isteri baginda sebelum ini.
Lelaki juga apa kurangnya walaupun jarang-jarang cemburu tetapi apabila sesekali cemburu begitu hebat penangannya. Tetapi sangat sedikit lelaki yang mengaku bahawa dia sedang cemburu. Mungkin ego itu yang menghalang mereka daripada berterus terang. Mungkin kah?
Suami isteri selalunya bersengketa hanya kerana cemburu. Cemburu kadang-kadang boleh mendatangkan bahagia, tapi ianya lebih banyak cenderung kepada pergaduhan. Cemburu yang mendatangkan pergaduhan ini selalunya merupakan cemburu buta, jika tidak pun kemungkinan besar ada orang yang ketiga yang wujud dan sengaja menimbulkan pergaduhan antara suami isteri ini agar masing-masing bergaduh antara satu sama lain dan kemudian bercerai berai. Nauzubillah!
Apa yang ingin dikongsikan tentang sifat ini ialah mengenai pasangan yang terlalu memikirkan tentang perhubungan. ikuti luahan sebenar hati seorang insan bernama wanita:
Aku bahagia bertemu dengan si dia. Ilmunya, akhlaknya sangat aku kagumi. Dia seorang yang lemah-lembut terhadap wanita. Perkenalan dengannya yang begitu lama akhirnya telah menyatukan kami sehingga ke ambang perkahwinan. Aku sangat bahagia bersamanya.
Tapi, di saat aku terlalu menyayanginya. Allah menguji keimanan ku. Aku dapat tahu dahulunya dia pernah menyayangi seorang wanita sebelumku, aku cemburu dengan itu sedangkan dahulu, aku tidak pernah menyayangi mana-mana lelaki sebelumnya dan hakikatnya dialah lelaki pertama dan yang terakhir yang pernah aku sayangi.
Kemudian, aku mendapat tahu lagi perkara-perkara yang lalu tentangnya. Aku menjadi semakin gelisah, hatiku resah tidak menentu. Dahulu, suamiku seorang insan biasa. Dia tidak pernah menuntut di sekolah agama. Pendidikan agamanya hanya setakat sekolah agama rakyat yang dihadirinya diwaktu petang ketika zaman sekolah rendah. Menurut suamiku lagi, dia seorang yang amat jahil tentang ilmu Islam. Namun begitu, Alhamdulillah tahun demi tahun berlalu, akhirnya Allah telah berikan suamiku hidayah. Sebelum mengenaliku, dia telah dibukakan mata hatinya untuk berubah mencari yang hakiki. Atas dasar keimanannya itu, aku jatuh cinta padanya. Ketika diberitahu dia meminangku, aku tersenyum syukur. Aku memilihnya kerana nilai agama yang ada dalam dirinya. Masya-Allah!
Ketika aku menerima pinangan dan bernikah dengannya, aku tidak mengetahui langsung sejarah hidupnya. Dihadapanku ketika itu dia adalah seorang lelaki soleh, yang aku cintai dan terima seadanya. Sungguh tenang, seakan bercahaya wajahnya. Tapi, bila saat sejarah-sejarahnya dahulu diketahui olehku, aku menjadi bingung. Terngiang-ngiang ditelingaku pengakuan suamiku kepadaku bahawa suatu masa dahulu dia seorang yang kerap bersosial. Dia pernah berkawan dan bermesra dengan beberapa wanita lain yang berbeza sebelum dia mendapatkan hidayah Allah itu. Aku menjadi terlalu cemburu dan agak marah ketika itu semuanya kerana aku berasa tidak adil kerana aku tidak pernah melakukan apa yang suamiku lakukan sebelum aku bernikah dengannya dahulu. Aku jadi sedih dan perasaanku bercampur baur.
Kadang-kadang aku menangis merintih pada Ilahi mengapa sifat ini terlalu menikam-nikam jiwa batinku. Aku ingin menjauhi sifat seperti ini. Namun, semakin aku cuba untuk melawan semakin ia kuat mencengkam perasaan. Aku cuba mempositifkan diri dan minda, tetapi masih tidak berjaya. Salahku Ya Allah kerana aku terlalu cemburu?
Tatkala terbayang keadaan suamiku berhubungan dengan wanita lain dan terbayang saat suamiku bermesra dengan kekasih hatinya dan wanita-wanita seperti itu, aku jadi semakin sedih. Apa yang aku inginkan ialah suami yang suci dan tidak pernah melakukan dosa-dosa besar, tapi itu mustahil kerana aku telah memilihnya dan aku juga pernah melakukan banyak dosa tanpa disedari.
Hampir setiap saat aku memikirkan perkara ini selepas aku mengetahui kisah silamnya. Kepalaku jadi serabut yang teramat. Tetapi hubunganku dengannya tetap berjalan seperti biasa. Sungguh, aku tidak berani menyuarakan perasaan cemburuku ini padanya. Apabila kulihat mukanya kelihatan risau dan ingin meminta nasihat dan semangat setelah berpenat-lelah berjuang dan berdakwah di luar, aku memberikannya kata-kata semangat, walaupun di hati aku sedih dengan kisah silamnya tetapi aku cuba lupakannya demi cintaku pada seorang suami..
Hinggalah pada suatu detik, aku teringat akan kisah srikandi Islam yang mulia iaitu 'Aisyah'. Beliau adalah salah seorang isteri Rasulullah S.A.W yang paling muda dan yang paling kuat sifat cemburunya.
Pernah suatu hari, salah seorang isteri Baginda S.A.W datang berkunjung ke rumah Baginda ketika mana giliran Baginda untuk bersama Aisyah. Isteri Baginda S.A.W ketika itu hanya ingin memberikan sedulang makanan kepada suaminya dan madunya, 'Aisyah. Apabila 'Aisyah ingin menyambut makanan tersebut beliau sengaja menjatuhkan makanan itu. Dan, hal ini segera ditegur oleh Baginda S.A.W. Lalu Baginda S.A.W menasihati isterinya dan meminta agar 'Aisyah meminta maaf kepada madunya itu.
Ada juga kisah mengenai sifat cemburu 'Aisyah di mana Rasulullah S.A.W acapkali menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah di hadapannya. Sehingga beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa Baginda selalu menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah sedangkan Saidatina Khadijah sudah wafat. Lalu Baginda S.A.W bersabda bahawasanya Saidatina Khadijah ialah seorang wanita Islam yang terlalu banyak berkorban demi agama.
Kini, tersedar ku dari lamunan. Aku sedar, sifat ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Aku perlu kawal perasaan ini, bukan lawan. Kerana sifat ini merupakan fitrah insani. Cuma ianya perlu dikawal dengan sebaiknya.
Walaupun begitu. Aku tahu bahawa suamiku sudah banyak berubah. Semenjak aku mengenali suamiku, dia sudah banyak berubah. Dia menjaga batas-batas pergaulannya dengan wanita ajnabi. Dia menundukkan pandangannya daripada memandang wanita yang bukan mahram. Dia hanya berurusan dengan wanita apabila terdapat urusan penting sahaja. Alhamdulillah. Aku sepatutnya bersyukur ke hadrat Ilahi. Dia sudah berubah dan dia bukanlah dia yang sebelum ini lagi.
Suamiku selalu berpesan agar jangan diingatkan kisah yang lepas kerana kisah itu hanya kisah silam yang menjadi epilog silamnya. Memang benar apa yang suamiku katakan. Aku akan cuba berubah menjadi isteri yang solehah dan tidak memikirkan perkara-perkara lampau itu lagi!
Kini aku berdoa agar dikurniakan sikap yang lebih positif agar hatiku tenang bila bersamanya. Aku ingin sekali kami memupuk sikap saling percaya antara satu sama lain kerana bagiku kepercayaan itu penting dalam perhubungan suami isteri. Kami juga akan sedaya-upaya membina keluarga sakinah di mana keluarga itu yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Pada pandanganku, apabila kita yakin dengan ajaran Islam (amal,ilmu,akhlak,hubungan suami dengan Allah terjaga), secara automatiknya kita akan yakin dengan perhubungan kita secara keseluruhannya. Insya-Allah.
Pesananku buat semua pasangan suami isteri, bercintalah kerana-Nya. Cinta itu suci, dan janganlah mengotori hakikat cinta itu. Hargai pasangan kita. Dan, jagalah hati pasangan kita sebaik-baiknya. Jika telah dikurniakan suami yang soleh dan baik, bersyukurlah pada Allah dan doalah agar dia akan kekal begitu. Usahlah cemburu membabi buta kerana kemungkinan besar cemburu itu akan lebih mengeruhkan keadaan yang sedia ada.
Mas Kahwin: Senaskah al-Quran
Apabila disebut tentang Mas Kahwin, kebanyakan wanita kini hanya memikirkan jumlah atau nilai wang yang ditetapkan untuk Mas Kahwin mereka. Kalau diikutkan, nilai Mas Kahwin berbeza mengikut negeri asal wanita yang ingin berkahwin.
Kadang-kadang tidak sampai ratusan ringgit. Namun pada trend kini, kebanyakan meletakkan Mas Kahwin mengikut kemahuan atau kemampuan pasangan masing-masing. Bukan apa, itu disimbolkan sebagai hadiah kepada wanita atas kesediaannya untuk menerima bakal suami untuk hidup bersama.
Sebagaimana firman Allah:
"Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu Mas Kahwin mereka." [Surah an-Nisa, Ayat 4]
Selain Mas Kahwin, ia juga disebut sebagai Mahar. Hukumnya adalah wajib. Pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu Mas kahwin dibayar dengan berbagai cara iaitu rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya.
Namun, pada zaman kini masih lagi ada golongan yang mengamalkan cara bayaran Mas Kahwin seperti ini, akan tetapi sangat sedikit bilangannya. Sebenarnya apa yang ingin dibincangkan di sini ialah apakah hikmah memilih senaskah al-Quran sebagai Mahar kepada wanita yang bakal dikahwini.
Sabda Rasulullah S.A.W :
"Carilah untuk dijadikan Mas Kahwin walaupun sebentuk cincin yang dibuat daripada besi." [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Sesuatu yang berguna dan berfaedah seperti wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sangat dianjurkan oleh Islam untuk digunakan sebagai Mas Kahwin. Nyata, al-Quran adalah pilihan yang sangat terbaik sebagai Mas Kahwin kerana kandungan dan isi al-Quran mempunyai gudang ilmu yang sangat luas dan penuh manfaat.
Rasulullah juga pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tidak memiliki sesuatu apa pun untuk dijadikan Mas Kahwin, lalu Rasulullah bertanya kepada lelaki itu.
"Adakah pada engkau sedikit dari ayat-ayat Quran?" lelaki itu menyahut bahawa dia ada mengingati beberapa surat (ayat-ayat al-Quran), kemudian Rasulullah pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermas kahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isteri lelaki itu.
Lihat, mudah dan halus benar maksud Rasulullah. Banyak kebaikan yang kita dapat daripada ajaran Rasulullah S.A.W ini. Si isteri bukan sahaja dapat mempelajari ilmu Allah, malah dapat mempratikkan dan membacanya selalu dan apabila ilmu yang diberi diamalkan oleh orang lain, ternyata bertambahlah pahala si suami yang memberikan ilmu tersebut.
Antara hikmah senaskah al-Quran sebagai Mas Kahwin ialah:
1. Al-Quran lambang teragung dalam agama Islam dan pemberiannya kepada insan lain umpama satu penghargaan yang tidak ternilai kepada kitab suci tersebut. Malah takrif sesuatu perkahwinan itu dapat ditafsirkan melalui pemberian al-Quran sebagai lambang cinta sejati bersyariatkan agama kepada si isteri.
2. Dapat membawa keberkatan seandainya pasangan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam hidup berumahtangga bersama selepas diijabkabulkan.
3. Mendapat kebaikan dan pahala andai si isteri selalu membacanya, bukan sahaja si isteri malah suami yang memberi juga turut mendapat pahala hingga ke Akhirat.
4. Seperti yang kita tahu, emas juga ada kebaikan jika dijadikan sebagai Mas Kahwin iaitu sebagai pelaburan. Namun ia lebih bersifat material dan mungkin akan habis begitu sahaja di dunia. Namun ayat-ayat al-Quran tidak akan pernah habis dan berakhir walau dibaca berulang-ulang kali dan ayat al-Quran tersebut dapat diajarkan kepada anak, cucu-cicit hingga selama-lamanya.
5. Andai si suami telah meninggal dunia, seperti kita ketahui hanya amalan, anak yang soleh serta ilmu yang berguna sahaja dapat membantu di Akhirat kelak. Al-Quran yang diberi kepada isteri insya-Allah dapat memberi kemudahan dan ketenangan di sana.
Tiada apa yang dapat dilakukan oleh seorang isteri melainkan sentiasa berdoa dan melakukan amalan-amalan yang bermanfaat untuk suaminya yang telah meninggalkannya. Andai si isteri sentiasa membaca al-Quran yang diberikan oleh arwah suami sebagai Mas Kahwin, nescaya Allah akan memberi ganjaran yang berganda-ganda kepada roh suaminya.
Begitulah betapa besarnya hikmah memilih al-Quran sebagai Mas Kahwin. Kebaikan dan faedah yang dapat kita perolehi untuk membina sebuah keluarga bukanlah mengambil masa atau tempoh yang singkat, ia mengambil jangka masa yang panjang dan kita perlulah memandang lebih jauh untuk masa-masa akan datang.
Andai ingin kebahagiaan bukan sahaja di Dunia dan Akhirat, marilah menghargai ilmu Allah yang telah dikurniakan kepada kita. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan kebahagiaan di dunia yang hanya sementara ini. Yang selalu kita nantikan ialah kehidupan abadi di Akhirat sana kelak iaitu sebenar-benar kehidupan abadi.
Wednesday, July 11, 2012
~Kelahiran Seorang Anak~
Kelahiran seorang anak atau cahaya mata,membuat si ibu mengalirkan air mata. Selama sembilan bulan sepuluh hari mengandungkan si anak yang comel itu dengan ketabahan yang sering berlku terhadap ibu-ibu yang lain.Ini adalah pengorbanan adik kandungku sendiri yang mengandung dan melahirkan seorang anak kecil yang diberi nama Sumayyah.
Inilah dia Sumayyah a baby girl.Memang sungguh comel dan kuat.Setiap hari melayan kerenahnya yang agak nakal.Tetapi,itulah yang membuatkan saya rindu padanya.Tidak kira waktu apa pun pasti menatap gambarnya di handphoneku.
Sebelum tiba masanya adikku hendak melahirkan Sumayyah,adikku mengatakan,"kak,panggil mak," aku terus memanggil emak di bilik tidurnya.Emak terus bangun terkejut,"hah,kenapa?" aku terus memberitahu adik sudah ada tanda-tanda hendak melahirkan Sumayyah.Waktu itu jam menunjukkan pukul 4 pagi.
Emak berkata padaku,"kenapa tak kejut awal-awal?" aku terus berlalu ke bilik dan bersiap-siap untuk membawa adik ke hospital besar Melaka bersama emak dan adikku lagi seorang. Aku menyiapkan segala peralatan untuk dibawa ke hospital.
Ketika sampai di hospital,aku terus menemani adik untuk mendaftarkan namanya di wad bersalin.Itulah pengalaman pertama kali aku masuk wad bersalin.Gementar juga bila berada ditempat orang bersalin tu.
Kemudian aku,emak dan adik menunggu diluar bilik bersalin.Mengantuk juga menunggu orang hendak bersalin.Beberapa minit kemudian,adik iparku sampai.Ketika itu,hatiku rasa sedih,gembira pun ada.Nak dapat anak buahla katakan...
Seharian juga aku menunggu adikku bersalin.Tetapi tidak pun sebenarnya.Hati ini bedebar-debar menanti kelahiran anak buah yang tersayang.Tepat pada jam 6.30 petang,adikku melahirkan seorang anak perempuan yang beratnya 2.8kg.Rambutnya lebat,putih,macam maklongnya.hehe..
Memang penat untuk menunggu masa bersalin.Masa yang diambil selama 14 jam lebih.Begitulah saat-saat yang gentir itu berlaku.Masa begitu pantas berlalu.Tanpa disedari umur anak buahku telah pun cukup satu bulan lebih.Dia telah bertambah bijak.Ini dia setelah umurnya sebulan lebih.
Ini gambar-gambar yang sempat diambil..
Subscribe to:
Comments (Atom)








