Tuesday, April 6, 2010

Sun, 06 Dec 2009 16:33:44 -0800

Oleh: Ust Zaharuddin Hj Abd Rahman


Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Rasul
junjugan Nabi Muhammad SAW, pemimpin para du’at dan Mujahidin yang telah
sempurna menyampaikan amanah dan risalah serta memberika ingatan dan berita
baik kepada seluruh manusia. Juga salam ke atas para ahli keluarga Baginda SAW,
para sahabatnya yang terpilih serta mujahidin/at dan muslimin/at yang menurut
jalan kebenaran Islam.

Penulisan ringkas dan padat ini akan menyentuh aspek berikut :-
1. Pengenalan ringkas jenis Kad Kredit utama yang terpakai di dunia sekarang.
2. Hukum setiap urusniaga dan yang berkaitan dengan Kad Kredit.

Penulisan ini ditujukan khas bagi setiap pengguna kad kredit yang mengambil
berat di atas hal ehwal halal dan haram dalam urusannya dan kepada setiap insan
yang ingin menambah maklumat, bagaimanapun penulisan ini dibuat dalam bentuk
ringkas, tanpa menuruti kaedah penulisan tesis ilmiah. Ia sekadar suatu bentuk
artikel separa ilmiah dituju pada umum dan diharap dapat menjelaskan
‘mawqif’(pendirian) Islam terhadap kontrak yang kian polpular di kalangan
msyrkt hari ini.

RINGKASAN MAKLUMAT DAN LATAR BELAKANG KAD KREDIT

1. Takrif Kad Kredit

Menurut Kamus Oxford : “ Ia adalah satu kad yang dikeluarkan oleh Bank atau
mana-mana pihak lain, yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk
memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran(Hutang)”

‘Hutang’ dari sudut syarak menurut takrifan Al-Qadhi Ibn ‘Arabi “Iaitu urusan
pemindahan (pertukaran) hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya),
yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak kedua secara tangguh di
atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau tidak)”

Manakala Takrifan yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Islam
Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) bagi Kad Kredit adalah : “Satu bentuk penyata
sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada
mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak diantara kedua-dua
belah pihak, ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau
khidmat2 dari semua pihak yang mengiktiraf penyatan sandaran (kad Kredit) tadi,
tanpa perlu membuat pembayaran tunai (segara), kerana ia mengandungi jaminan
pembayaran dari pihak pengeluar.”


2. Jenis Kad Kredit

Pembahagian jenis Kad Kredit berdasarakan cara-cara pelangsaian bilnya adalah
seperti berikut :
a) Kad Kredit Jenis (Charge Card)
Ia adalah kad kredit yang mewajibkan pemegangnya membayar bil penggunaannya
setiap bulan. Antaranya jenisnya : American Express (Hijau), Diners Club.
Antara cirinya yang terpenting :-

1) Tidak disyaratkan pemegangnya membuka Akaun Simpanan di Bank Pengeluar @
Pihak Pengeluar Kad. Juga tidak disyaratkan pemegang mengemukakan apa jua
Jaminan Tunai kepada Bank Pengeluar bagi melangsaikan seluruh hutang-hutangnya
hasil penggunaan kad.
2) Pemegang kad diberi had tertentu (Credit Line), lalu ia boleh menikmati
seluruh hak hutang piutang (bayaran tangguh) dalam satu had ‘tempoh izin
tangguh jangka pendek’ yang telah ditentukan, iaitu tempoh antara waktu belian
dan waktu wajib langsaian bil. Biasanya dalam 55-60 hari, ketika itu, pemegang
akan dibekalkan dengan penyata bulanan yang menyebut transaksi urusniaga yang
telah digunakan.
3) Jika pemegang lewat melangsaikan kos penggunaannya dari waktu yang
ditetapkan, maka pengeluar akan mengenakan penalty akibat lewat yang telah
ditetapkan di dalam kontrak perjanjian. Mungkin juga akan ditarik balik kad dan
dibaung dari keahlian dan sebagiinya.
4) Mungkin juga pemegang kad jenis ini perlu membayar yuran permohonan sekali
sahaja, dan juga yuran pembaharuan kad tahunan.

b) Kad Kredit Yang Menerima Pembaharuan Bil (Revolving Credit Card)
*Jenis ia adalah yang paling banyak tersebar di seluruh dunia. Antaranya Visa
Card, Master Card, Diners Card, American Express Card.
• Ia juga mempunyai banyak ciri yang sama dengan yang pertama tadi cuma
terdapat beberapa perbezaan utama.
• Pemegang Kad tidak wajib melangsaikan ‘kos guna’ nya secara keseluruhannya
setelah mendapat penyata bil dari pengeluar dalam tempoh izin yang diberikan,
TETAPI DIBENARKAN UNTUK MEMBAYAR HANYA NISBAH KECIL DARI BIL . Manakala
bakinya, pemegang diberi pilihan samada ingin melangsaikannya dalam tempoh izin
yang diberi tersebut ataupun dibiarkan bakinya lalu pihak pengeluar akan
mengenakan faedah daripada jumlah bil yang tertangguh ini.
• Kad ini tidak mempunyai had tertinggi penggunaan. Ini bermakna pemegang boleh
berbelanja sbanyak mana yang disukainya dan hanya perlu membayar nisbah kecil
dari bil, manakala bakinya boleh dibayar secara bertangguh dengan dikenakan
peratusan faedah.
• Pemegang Kad boleh menggunakannya samada di dalam ataupun di luar negara di
mana2 sahaja asalkan pihak peniaga mengiktirafnya.
• Ia mempunyai 3 jenis kebiasaannya : Kad emas, Kad Perak dan Kad Biasa.


Ciri ringkas Kad Kredit:-


Antara ciri utama yang berkaitan dengan wujudnya Riba dalam kad ini adalah :-

• Pemegang Kad tidak wajib melangsaikan ‘kos guna’ nya secara keseluruhannya
setelah mendapat penyata bil dari pengeluar dalam tempoh izin yang diberikan,
TETAPI DIBENARKAN UNTUK MEMBAYAR HANYA NISBAH KECIL DARIPADA BIL. Manakala
bakinya, pemegang diberi pilihan samada ingin melangsaikannya dalam tempoh izin
yang diberi tersebut ataupun dibiarkan bakinya lalu pihak pengeluar akan
mengenakan faedah daripada jumlah bil yang tertangguh ini.


• Kad ini mempunyai had tertinggi penggunaan. Bermakna pemegang hanya boleh
berbelanja sebanyak mana yang disukainya selagi mana di dalam kadar maksimum
yang dibenarkan, dan hanya perlu membayar nisbah kecil dari bil (sekitar 5 %
sahaja), manakala jika bakinya di tangguh sehingga melepasi tempoh percuma
(biasanya 30 hari), pelanggan akan dikenakan peratusan faedah. Biasanya kadar
faedahnya amat tinggi iaitu sekitar 18-25 % setahun. Inilah Riba yang amat
jelas malah amat membebankan dan menindas.

Dalam hal seseorang berhasrat menggunakan kad kredit konvensional yang
meletakkan syarat Faedah Riba tetapi ia berazam sentiasa menjaga tempoh
pembayaran semula sebelum di kenakan faedah Riba, Kesatuan Fiqh Antarabangsa
OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam ketetapannya nombor 108, pada
persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai TIDAK HARUS
terutamanya di waktu kewujudan Kad Kredit Islam. Bagaimanapun, ketetapan dalam
persidangan yang sama juga telah dibuat; mengharuskan membuat kad kredit
konvensional yang tiada meletakkan sebarang syarat Faedah / Riba di dalam
kontraknya. Bagaimanapun dengan syarat mestilah melangsaikan jumlah penggunaan
sebelum di kenakan faedah Riba.

Selain itu berikut di sertakan beberapa ringkasan hukum berkaitan penggunaan
Kad Kredit:-


1. Yuran Penyertaan, Pembaharuan dan Penukaran Kad
Hukumnya : HARUS, tiada masalah dari sudut syarak, ia dianggap sebagai upah
yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya.
Juga HARUS jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada
perbezaan jenis khidmat. Tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah
setara dengan khidmat sebenar yang diberikan, jika ia melebihi kos khidmat
sebenar, maka ia adalah Riba yang diharamkan.
Demikian keputusan dalam Qarar (ketetapan) dari Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan
Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) pada persidangnnya ke-3 pada Oktober 1986.

2. Kos Tertentu Dari Peniaga kepada Bank Pengeluar
Adakalanya pihak Bank atau pengeluar Kad akan meletakkan syarat dalam
perjanjiannya dengan para peniaga sejumlah ‘kos tertentu’ dalam bentuk
peratusan yang akan di ambil dari Bil Penjual (Peniaga), yang mana biasanya
berlegar sekitar 2-5% atau 8 % dari jumlah Bil. (Lihat Jones , Sally A, The Law
Relating to Credit Cards, London, 1989 ,ms 14)
Hasilnya, apabila Peniaga membuat tuntutan kepada Bank Pengeluar, maka Bank
akan segera menunaikan bil (Pemegang Kad) iaitu setelah dipotong jumlah kos
yang disebut tadi. Kemudian pihak Bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan)
hasil penggunaan kad daripada pemegang kad.

Hukumnya : Harus . Berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah. Jumlah kos ini
dikira hadiah. (Rujuk Fatawa Hindiyyah, juga Fatawa Al-Bazaziyah, Al-Mabsut dan
lain lain ). Terdapat ramai para Fuqaha (Ulama Fiqh) mengganggap ia adalah upah
wakil (Ujrah Wakalah) kepada Bank kerana menjadi ‘wakil’ bagi Peniaga dalam
mempromosikan barangannya serta jaminan wujudnya pelanggan. Ia juga boleh
dianggap sebagai Diskaun Khas dari peniaga kepada pengeluar. Ada juga yang
mengatakan ia sebagai upah Broker (Ia adalah pandangan Prof. Dr Rafiq Al-Misri).

4. Hadiah dan Jaminan Khas Bagi Pemegang Kad Emas (Gold Card)
Ia bertujuan untuk menarik golongan menengah dan atasan bagi menyertai skim
mereka. Maka untuk tujuan itu, mereka menawarkan beberapa bentuk hadiah dan
skim Insuran Percuma dan Insuran Kemalangan Perjalanan.
Dalam program Hadiah Ahli (Membership Rewards), setiap Ringgit Malaysia (RM)
hasil penggunaan Kad Emas, pengguna akan mendapat satu mata. Dan mata ini akan
bertambah dan jumlah mata terkumpul tertentu akan membolehkan pengguna
menikmati program melancong percuma atau penginapan di hotel percuma, atau
diskaun di restoran-restoran dan lain lain. (Lihat : American Express Cards, an
exclusive opportunity for a select few)

Hukumnya : berbeza menurut jenis hadiah; ia seperti berikut :-

a) Hadiah Insuran percuma : Hukum Insuran Konvensional telah diputuskan oleh
Sidang Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC yang pertama pd 1397 H, sebagai
Haram kerana mengandungi unsur Riba, Gharar (ketidaktentuan), Jahalah(ketiadaan
maklumat tepat semasa transaksi), Judi dan lain lain.

Bagaimanapun dalam konteks ini, hukumnya berlainan kerana pemegang tidak
membayar apa-apa kepada syarikat Insuran, oleh itu ia tidak terjebak di dalam
hukum haram yang diputuskan, malah ia dianggap sebagai hadiah galakan sahaja
dan hukumnya adalah Harus. Ini adalah kerana ia bukannya maksud kontrak tetapi
hanya tabi’ (perkara sampingan yang terhasil dari perjanjian).

Telah diiktiraf dalam Kaedah Fiqh bahawa “Dimaafkan yang berlaku pd tawabi’ dan
tidak pd lainnya” (Rujuk Majalah al-Ahkam Al-‘Adliyah).

b) Hadiah-hadiah lain : HARUS atas dasar sumbangan dan derma dan galakan.
Asalkan ia tidak terjebak dalam muamalat Bank Konvensional Ribawi. Juga dengan
syarat hadiah ini terdiri daripada perkara yang halal menurut pandangan
Shariah. Bagaimanapun, ulama Mazhab Syafie tidak mengharuskannya atas dasar
‘Sadd az-Zarai’ (Menutup jalan haram dari berlaku).


5. Syarat Menamatkan Kontrak Menurut Kehendak Pengeluar Sahaja
Iaitu pihak pengeluar mempunyai hak untuk menamatkan kontrak walaupun tanpa
persetujuan Pemegang kad.

Hukumnya : Syarat ini diterima dan HARUS di sisi Syara’, kerana kontrak yang
diikat adalah termasuk dalam bab Kafalah. Ia telahpun dinaskan sebagai kontrak
‘Ghair Lazim’ (Boleh ditamatkan kontrak tanpa persetujuan kedua-dua belah
pihak). Terutamanya apabila pemegang kad melanggar perjanjian kontrak.

6. Membeli Emas & Perak dengan Kad Kredit

Ulama Fiqh telah menegaskan bahawa antara syarat sah pembelian emas dan perak
dengan wang kertas mestilah transaksi pertukaran berlaku ketika itu juga tanpa
sebarang penangguhan, ia disebut “at-taqabud fil hal” dalam istilah Fiqh. Ia
adalah berdasarkan Hadith Nabi SAW yang jelas menyatakan syarat dan keperluan
itu. Ini adalah kerana wang kertas dianggap dari kalangan harta ribawi
(usurious items) dan demikian juga Kad Kredit.

Persoalannya dalam isu Kad Kredit adalah : Adakah peniaga emas dan perak
menerima harga bayaran di tempat transaksi jual beli dilakukan?. Dalam hal ini,
Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC telah membuat dua ketetapan ;
Iaitu yang lama yang yang baru . Pandangan lama (dalam sidangnya yang ke 9 pada
April 1995) menyebut : “Proses terima serah “At-Taqabud” sebenarnya telah
terlaksana, iaitu dengan cara melalukan kad kredit tersebut di alat bacaan kad
kredit ketika pembayaran dibuat”. Dengan tindakan ini, semua maklumat telah
dihantar ke Bank Pengeluar yang akan menguruskan pembayaran selepas itu. Ia
juga merupakan ketetapan dari Simposium Ekonomi Islam ke -12 anjuran Dallah
al-Barakah pada 1996.


Pandangan baru mereka (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) ; mereka
memfatwakannya sebagai HARAM ( Berdasarkan keputusan nombor 108, pada
persidangan 23-28 September 2000 )


Justeru, saya menyarankan agar orang ramai menjauhi hal ini lebih baik dari
mengambil mudah. Ini kerana kaedah Fiqh menyatakan “ Keluar dari khilaf adalah
lebih diutamakan” . Maka hukumnya : HARAM.


7. Pertukaran Matawang (Money Exchange atau ‘As-Sarf’) Dengan Kad Kredit.
Biasanya, pemegang kad boleh menggunakan kad ini di kebanyakan negara di dunia
bagi membeli apa jua barang yang dikehendakinya, dengan penggunaan kad ini,
maka pihak Bank Pengeluar akan membayar Bil kegunaan di luar negara tadi secara
segera dengan matawang negara yang terbabit. Kemudian menuntut dari Pemegang
kad dengan Matawang tempatan (dengan menggunakan harga pertukaran hari tersebut
- sebagaimana termaktub di dalam perjanjian) bagi membayar bil dalam tempoh
izin sekitar 2-3 minggu.

Jelas, terdapat transaksi pertukaran matawang (As-Sarf) dalam hal ini.
Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa syarat dalam Islam bagi pertukaran wang
adalah At-Taqabud fil hal.

Hukumnya : HARAM. Ini adalah kerana kelewatan Bank menerima timbal balik dari
pemegang kad, bagi pertukaran matawang yang telah dilakukannya. Bank hanya
mendapat timbal tukaran itu selepas 2-3 minggu, ini kerana Bank menuntut Bil
dari pemegang kad hanya selepas dikeluarkan bil penyata selain memberinya had
tempoh izin. Justeru tiada taqabud haqiqi ataupun hukmi berlaku disini. Lalu
Hukumnya adalah HARAM kerana berlaku Riba Buyu’ . Ia menurut ketetapan Kesatuan
Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC dalam sidangnya yang ke 12 pada September 2000.
BAGAIMANAPUN dikecualikan dari haram dalam keadaan dharurat dan keperluan yang
amat sangat.


8. Denda Penalti Kerana Lewat Langsaian Bil Wajib bagi ‘Kredit Kad.
Terkandung di dalam syarat kontrak bagi ‘Credit card, bahawa pemegang kad akan
menanggung denda akibat kelewatan melangsaikan bil wajib minimanya dalam tempoh
izin (30 hari). Sudah tentu ia berbentuk wang.

Hukumnya : HARAM, terdapat unsur Riba An-Nasiah (Riba Hutang) yang sangat
dilarang di dalam Islam kerana terdapat unsur menzalimi manusia lain serta
memakan harta manusia tanpa haq. Telah Ijma’ seluruh ulama muslim pengharaman
riba ini.

Demikian Keputusan hasil persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov
1998.


BAGAIMANAPUN terdapat keputusan berbeza dari persidangan Ekonomi Islam
AL-BARAKAH ke 12 pada tahun 1996, yang memutuskan HARUS, tetapi jumlah denda
itu mestilah digunakan untuk tujuan derma kebajikan. Ia dibolehkan berdasarkan
kelemahan kefahaman agama dan kesengajaan dalam melewatkan dalam melangsaikan
Bil walaupun mampu. Demikian juga pandangan mazhab Maliki dan Syeikh Prof.
Mustafa Ahmad Az-Zarqa. Pandangan yang lebih kuat adalah HARAM.


9. Bunga @ Faedah Dikenakan bagi Memperbaharui Bil Bagi Kredit Kad
Terkandung dalam syarat kontrak ‘Kredit Kad’ bahawa pemegang yang tidak ingin
melangsaikan bil secara sepenuhnya, maka bil yang berbaki tersebut akan
dikenakan faedah. Hukumnya : HARAM, ia adalah Syarat Riba yang dilarang di
dalam Islam tanpa sebarang ragu-ragu. Demikian keputusan persidangan Fiqh bagi
Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998.

Soalan : Adakah harus seorang muslim memohon Kad ini, yang jelas mensyaratkan
faedah bagi bil berbaki?

JAWAPAN : Asalnya adalah HARAM dan batal syarat tersebut. Bagaimanapun terdapat
pengecualian apabila ada keperluan mendesak dan tiada pilihan lain, ketika itu
hukumnya HARUS, dengan syarat membayar penuh bil tanpa meninggalkan sebarang
baki yang boleh dikenakan Faedah.

10. Mengeluarkan Wang dengan Kad Kredit
Ia dianggap pemegang kad membuat pinjaman kepada Bank Pengeluar Kad secara
langsung melalui ‘Auto Teller Machine’ bank pengeluar atau cawangannya atau
melalui ATM Bank Lain (di kira sebagai wakil).

Hukumnya:

1. HARUS, jika pemegang mempunyai wang yang mencukupi dalam akaunnya. Ketika
itu pemegang kad seolah2 mengeluarkan wangnya sahaja. Jika diambil dr bank lain
juga demikian. Dan Harus pihak bank mengambil kos upah dengan kadar khidmat
mereka yang sebenar.

2. HARAM JIKA Bank Pengeluar mensyaratkan fae...@bunga hasil pinjaman yang
diberikan. Kerana ia adalah Riba al-Qurudh. KECUALI JIKA PIHAK BANK PEMBERI
PINJAMAN HANYA MENGAMBIL KOS KECIL YANG TETAP, HASIL KHIDMAT PEMPROSESAN YANG
DIBUATNYA SAHAJA. KETIKA ITU HARUS , Demikian qarar Majma’ Fiqh Islam Sedunia
pada sidangnya ketiga pada 1986 M.

3. Jika Pemegang tiada jumlah yang mencukupi di dalam akaunnya (berlaku
overdraft) atau langsung tiada sbrg akaun. Maka dianggap pengeluarannya itu
adalah PINJAMANnya terhadap bank. dan semua hukum pinjaman (al-Qardh) di dalam
Islam adalah terpakai ketika itu. Sebagaimana Kaedah: ‘Kullu Qardhin Jarra
Naf’an Fahuwa Riba’ Setiap pinjaman yang mensyaratkan sebarang manfaat bagi
pihak pemberi pinjaman adalah RIBA.

Wahai sedara se-Islam...marilah berhijrah daripada menggunakan credit card
Riba' ke Credit card Islam yang boleh dimohon melalui Maybank, Bank Islam, CIMB
Islamic Credit cards dll. salam


(Penulis sekarang bertugas sebagai Head, Shariah Coordinator, Asian Finance
Bank Ltd ( a subsidiary of Qatar Islamic Bank)

No comments: